Return   Facebook

The Universal House of Justice

Ridván 2021

To the Bahá’ís of the World

Dearly loved Friends,

Kata-kata terakhir dalam bab yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah Kepercayaan kini telah ditulis, dan halaman telah dibuka. Riḍván ini menandakan penamatan satu tahun yang luar biasa, dalam Rancangan Lima Tahun, dan daripada seluruh siri Rancangan-rancangan yang bermula sejak tahun 1996. Satu siri Rancangan-rancangan baharu sedang menyeru, dengan apa yang dijanjikan sebagai dua belas bulan saat yang amat penting sebagai permulaan bagi satu usaha sembilan tahun yang akan bermula pada Riḍván berikutnya. Kami melihat di hadapan kami satu komuniti yang telah membina kekuatan secara pantas dan sedang bersedia untuk mengambil langkah besar ke hadapan. Tetapi tidak harus ada ilusi tentang betapa besar usaha yang diperlukan untuk mencapai titik ini dan betapa sukar pengertian yang telah dikumpulkan sepanjang jalan ini: pembelajaran yang diperolehi akan membentuk masa depan komuniti, dan kisah-kisah bagaimana ia dipelajari memberi gambaran tentang apa yang akan menjelang.

Dekad-dekad menjelang tahun 1996, yang kaya dengan kemajuan dan pengertiannya yang tersendiri, tidak meninggalkan sebarang keraguan bahawa bilangan ramai di kebanyakan masyarakat akan bersedia untuk memasuki panji Akidah. Namun, walau saat-saat kemasukan berskala besar memberangsangkan, ia tidak sama dengan satu proses pertumbuhan mampan yang dapat dipupuk dalam pelbagai persekitaran. Persoalan yang mendalam telah dihadapi komuniti yang, pada masa itu, mempunyai pengalaman yang tidak cukup untuk menjawab dengan secukupnya. Bagaimanakah usaha-usaha yang bertujuan bagi peluasannya diteruskan seiring dengan proses pengukuhan dan menyelesaikan cabaran yang berlarutan, yang nampaknya sukar diselesaikan untuk mengekalkan pertumbuhan? Bagaimanakah individu, institusi dan komuniti dapat diperkembangkan agar mampu menterjemahkan ajaran-ajaran Bahá’u'lláh kepada tindakan? Dan bagaimanakah mereka yang tertarik kepada ajaran-ajaran dapat menjadi protagonis dalam satu daya usaha rohani sedunia?

Maka demikianlah, suku seabad yang lalu, komuniti Bahá’í yang masih mempunyai tiga Tangan Kepercayaan Tuhan dalam barisan hadapannya telah memulakan satu Rancangan Empat Tahun, yang dibezakan daripada rancangan-rancangan yang datang sebelumnya oleh tumpuannya pada satu tujuan yang tunggal: satu kemajuan yang besar dalam proses entry by troops. Tujuan ini kemudian menjelaskan siri Rancangan-rancangan yang selanjutnya. Komuniti telah pun memahami bahawa proses ini bukan sahaja kemasukan kumpulan-kumpulan besar dalam Akidah, mahupun ia akan muncul secara spontan; ia bermaksud peluasan dan pengukuhan yang bertujuan, sistematik, pesat. Kerja ini akan memerlukan penyertaan secara sedar jiwa-jiwa yang ramai, dan pada tahun 1996, dunia Bahá’í telah diarahkan untuk mengambil cabaran pendidikan secara meluas yang diperlukan. Ia telah diseru untuk menubuhkan satu rangkaian institut latihan yang ditumpukan pada menjanakan satu aliran individu-individu yang semakin meningkat yang dikurniai keupayaan-keupayaan yang penting untuk mengekalkan proses pertumbuhan.

Rakan-rakan telah memulakan tugas ini menyedari bahawa, meskipun dengan kemenangan-kemenangan mereka sebelum ini di lapangan mengajar, jelasnya mereka mempunyai banyak untuk dipelajari tentang keupayaan mana yang harus diperolehi dan, lebih penting lagi, bagaimana memperolehinya. Dalam pelbagai cara, komuniti akan belajar melalui tindakan, dan pembelajaran yang ia pelajari, setelah pembelajaran itu disuling dan diperhalusi dengan mengamalkannya di pelbagai persekitaran untuk satu jangka masa tertentu, akan akhirnya diterapkan dalam bahan-bahan pendidikan. Ia telah diiktiraf bahawa aktiviti-aktiviti tertentu adalah respons semula jadi kepada keperluan rohani sesuatu populasi. Kumpulan-kumpulan belajar, kelas-kelas kanak-kanak, perhimpunan-perhimpunan doa, dan kemudian kumpulan-kumpulan belia muda menonjol sebagai mempunyai kepentingan yang utama dalam hal ini, dan apabila ditenun bersama dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan, dinamik yang dijanakan akan membangkitkan satu corak kehidupan komuniti yang bersemangat. Dan apabila bilangan yang menyertai aktiviti-aktiviti teras ini bertambah, satu dimensi baharu telah ditambah kepada tujuan asalnya. Aktiviti-aktiviti ini telah menjadi portal yang melaluinya belia, orang dewasa dan seluruh keluarga daripada masyarakat luas dapat dipertemukan dengan Revelasi Bahá’u'lláh. Ia juga menjadi ketara betapa praktikal untuk mempertimbangkan strategi-strategi bagi kerja pembangunan komuniti dalam konteks “kluster”: satu kawasan geografik yang mempunyai saiz yang boleh diuruskan dengan ciri-ciri sosial dan ekonomi yang jelas. Satu keupayaan untuk menyediakan rancangan ringkas pada tahap kluster mulai dipupuk, dan daripada rancangan-rancangan tersebut, program-program pertumbuhan Akidah telah muncul, yang diatur dalam apa yang digelar kitaran aktiviti tiga-bulan. Satu titik kejelasan penting yang muncul sebelum ini: pergerakan individu melalui satu urutan kursus memberikan dorongan kepada, dan sedang dikekalkan oleh, pergerakan kluster di sepanjang satu kontinuum perkembangan. Hubungan saling melengkapi ini telah membantu rakan-rakan di merata tempat untuk menilai dinamik pertumbuhan di persekitaran mereka sendiri dan mencartakan satu jalan ke arah kekuatan yang meningkat. Dengan berlalunya masa, ia terbukti bermanfaat untuk melihat apa yang berlaku di sesebuah kluster daripada perspektif tiga imperatif pendidikan-yang berbakti kepada kanak-kanak, belia muda, dan belia serta orang dewasa-dan juga daripada perspektif kitaran aktiviti yang penting bagi ritma pertumbuhan. Separa jalan dalam satu daya usaha dua puluh lima tahun, kebanyakan ciri proses pertumbuhan yang paling ketara kita dapat lihat pada hari ini sedang menjadi kukuh.

Apabila usaha rakan-rakan digiatkan, pelbagai prinsip, konsep dan strategi secara universal berkait kepada proses pertumbuhan mulai terbentuk dalam satu kerangka tindakan yang dapat berkembang untuk menerima elemen-elemen baharu. Kerangka ini terbukti penting kepada pembebasan semangat yang amat hebat. Ia membantu rakan-rakan untuk menyalurkan tenaga mereka dalam cara yang, ditunjukkan melalui pengalaman, sesuai bagi pertumbuhan komuniti-komuniti yang sihat. Tetapi sebuah kerangka bukanlah satu formula. Dengan mengambil kira pelbagai elemen bagi kerangka semasa menilai realiti sesebuah kluster, kawasan tempatan, ataupun satu kejiranan, satu corak aktiviti dapat diperkembangkan yang dikumpulkan daripada apa yang seluruh dunia Bahá’í sedang pelajari sementara masih menjadi respons kepada ciri khusus tempat tersebut. Satu dikotomi antara syarat-syarat yang tegar dari satu segi dan pilihan peribadi yang tak terhad pada segi yang lain telah mengakibatkan pemahaman yang lebih bernuansa tentang kepelbagaian sarana yang mana individu-individu dapat menyokong satu proses yang, pada pusatnya, bersepadu dan terus diperhalusi apabila pengalaman dikumpulkan. Janganlah wujud sebarang keraguan tentang kemajuan yang telah digambarkan oleh kemunculan kerangka ini: implikasi bagi mengharmonikan dan menyatukan daya usaha seluruh dunia Bahá’í dan bagi mendorong pergerakannya ke hadapan mempunyai kepentingan yang besar.

Setelah satu Rancangan menyusuli yang sebelumnya, dan penglibatan dengan kerja pembangunan komuniti menjadi lebih luas, kemajuan pada tahap budaya menjadi lebih jelas lagi. Misalnya, kepentingan untuk mendidik generasi muda semakin dihargai, seperti juga potensi luar biasa yang terutamanya ditonjolkan oleh belia muda. Jiwa-jiwa yang membantu dan menemani satu sama lain dalam satu jalan bersama, sentiasa meluaskan lingkungan sokongan bersama, telah menjadi corak yang diingini dalam semua usaha yang bertujuan untuk memperkembangkan keupayaan untuk berkhidmat. Sedangkan interaksi rakan-rakan dalam kalangan mereka sendiri dan dengan orang sekitar mereka telah mengalami perubahan, apabila kesedaran telah dibangkitkan tentang kuasa perbualan bermakna untuk menyalakan dan menyemarakkan kepekaan rohani. Dan nyata sekali, komuniti-komuniti Bahá’í semakin mengamalkan orientasi pandang ke luar. Sebarang jiwa yang terbuka kepada visi Akidah dapat menjadi peserta yang aktif-bahkan seorang promoter dan fasilitator -bagi aktiviti-aktiviti pendidikan, perjumpaan ibadah dan elemen-elemen lain dalam kerja pembangunan-komuniti; daripada kalangan jiwa-jiwa tersebut, ramai yang akan menyatakan kepercayaan mereka kepada Bahá’u'lláh. Demikian, satu konsepsi proses entry by troops telah muncul yang semakin kurang bergantung kepada teori dan andaian dan lebih kepada pengalaman sebenar bagaimana bilangan besar dapat menemui Akidah, membiasakan diri dengannya, mengaitkan diri dengan tujuan-tujuannya, menyertai aktiviti-aktiviti dan perbincangannya, dan dalam kebanyakan kes memeluknya. Sesungguhnya, apabila proses institut diperkuat dari rantau ke rantau, bilangan individu yang mengambil bahagian dalam kerja Rancangan, meluaskannya juga kepada mereka yang baru saja berkenalan dengan Akidah, berkembang dengan pesatnya. Tetapi ini tidak didorong hanya pada pertimbangan nombor. Satu visi transformasi peribadi dan kolektif sedang berlaku pada masa yang sama, yang telah diasaskan di atas kajian Kalimat Tuhan dan satu penghargaan kepada keupayaan setiap orang untuk menjadi protagonis dalam drama rohani yang mendalam, telah meningkatkan satu rasa daya usaha bersama.

Salah satu ciri yang paling menonjol dan memberangsangkan dalam tempoh dua puluh lima tahun ini adalah khidmat yang diberikan oleh belia Bahá’í, yang dengan keimanan dan keberanian telah mengambil tempat mereka yang sah di barisan hadapan usaha-usaha komuniti. Sebagai pengajar Kepercayaan dan pendidik mereka yang muda, sebagai tutor-tutor bergerak dan pelopor-pelopor tempatan, sebagai koordinator kluster dan ahli-ahli agensi Bahá’í, para belia di kelima-lima benua telah bangkit untuk berkhidmat kepada komuniti mereka dengan pengabdian dan pengorbanan. Kematangan yang mereka telah tonjolkan, dalam melaksanakan tanggungjawab mereka yang mana bergantungnya kemajuan Rancangan Ilahi, adalah luahan semangat rohani mereka dan komitmen mereka untuk melindungi masa depan umat manusia. Dalam mengiktiraf kematangan yang semakin jelas ini, kami telah membuat keputusan bahawa, sejurus selepas Riḍván ini, sementara usia yang mana seseorang individu menjadi layak untuk berkhidmat dalam sesebuah Majlis Rohani masih kekal pada umur dua puluh satu, usia yang mana seseorang individu boleh mengundi dalam pemilihan Bahá’í akan diturunkan kepada umur lapan belas tahun. Kami tidak mempunyai keraguan bahawa belia Bahá’í di merata tempat yang mencapai usia ini akan menyangkal keyakinan kami pada kebolehan mereka untuk memenuhi secara “cermat dan teliti” “tanggungjawab suci” yang diseru kepada setiap pengundi Bahá’í.

Kami sedar bahawa, secara semula jadi, realiti-realiti komuniti amatlah berbeza.

Komuniti-komuniti nasional yang berlainan, dan tempat-tempat berlainan dalam komuniti-komuniti tersebut, memulakan siri Rancangan-rancangan ini pada titik perkembangan yang berbeza; sejak itu, ia juga telah berkembang pada kepantasan yang berbeza dan telah mencapai tahap kemajuan yang berbeza. Ini, sendirinya, bukan perkara baharu. Ia telah difahami bahawa keadaan di tempat-tempat berbeza, begitu juga darjah reseptiviti di sana. Tetapi kami juga melihat, satu arus yang membesar, yang mana keupayaan, keyakinan dan pengalaman terkumpul kebanyakan komuniti sedang meningkat, terdorong oleh kejayaan komuniti-komuniti saudara yang dekat dan jauh. Sebagai contoh, sementara jiwa-jiwa yang bangkit untuk membuka kawasan baharu pada tahun 1996 langsung tiada kekurangan dalam keberanian, keimanan dan pengabdian, hari ini rakan seperjuangan mereka di merata tempat sedang menggabungkan sifat-sifat itu dengan pengetahuan, pengertian dan kemahiran yang merupakan pengumpulan usaha seluruh dunia Bahá’í selama dua puluh lima tahun untuk mensistematik dan memperhalusi kerja-kerja peluasan dan pengukuhan.

Tanpa mengira titik permulaan sesebuah komuniti, ia telah memajukan proses pertumbuhan

apabila ia menggabungkan sifat keimanan, ketabahan dan komitmen dengan satu kesediaan untuk belajar. Malah, satu warisan yang disanjungi dalam siri Rancangan-rancangan ini adalah pengiktirafan meluas bahawa sebarang usaha untuk maju bermula dengan satu orientasi terhadap pembelajaran. Keringkasan panduan ini tidak mewajarkan sepenuhnya kepentingan implikasi yang menyusulinya. Kami tidak menafikan bahawa setiap kluster, dengan perjalanan waktu, akan maju di sepanjang kontinuum perkembangan; komuniti-komuniti yang telah maju paling pantas, berbanding dengan kluster yang mana keadaan dan kemungkinannya serupa, telah menunjukkan satu kebolehan untuk memupuk kesatuan fikiran dan untuk belajar tentang tindakan yang berkesan. Dan mereka telah melakukannya tanpa teragak-agak untuk bertindak.

Satu komitmen kepada pembelajaran juga bermaksud bersedia untuk melakukan kesilapan-dan kadang kala, tentunya, kesilapan membawa ketidakselesaan. Tidak menghairankan, kaedah-kaedah dan pendekatan-pendekatan baharu diuruskan dengan kurang cekap pada mulanya kerana kurangnya pengalaman; kadang-kadang, sejenis keupayaan yang baru diperolehi hilang apabila sesebuah komuniti menjadi terlalu asyik dalam memperkembangkan keupayaan yang lain. Memiliki niat yang terbaik tidak memberikan jaminan terhadap membuat kesilapan, dan untuk beralih daripadanya memerlukan kedua-dua kerendahan hati dan ketakterikatan. Apabila sesebuah komuniti kekal yakin untuk menunjukkan kesabaran (forbearance) dan belajar daripada kesilapan yang biasanya berlaku, kemajuan tidak pernah jauh dari jangkauan.

Di pertengahan jalan melalui siri Rancangan-rancangan, penglibatan komuniti dalam kehidupan masyarakat mula menjadi tumpuan perhatian yang lebih langsung. Para penganut digalakkan untuk memikirkannya dari segi dua bidang daya usaha yang saling berhubung kait-tindakan sosial dan penyertaan dalam wacana semasa masyarakat. Ini, tentunya, bukanlah alternatif kepada kerja peluasan dan pengukuhan, apatah lagi mengalihkan perhatian daripadanya: ia memang wujud semula jadi dalamnya. Semakin besar sumber manusia yang dapat komuniti bergantung, semakin besar keupayaannya untuk membawa kearifan yang terkandung dalam Revelasi Bahá’u'lláh untuk menangani cabaran-cabaran semasa-iaitu untuk menterjemahkan ajaran-ajaran-Nya dalam realiti.

Dan hal ehwal umat manusia yang kacau-bilau sepanjang tempoh ini nampaknya menekankan betapa mendesak keperluannya bagi penawar yang dipreskripsikan oleh Pengubat Ilahi. Dimaksudkan dalam semua ini adalah satu konsepsi agama yang berbeza daripada apa yang sedang mengawal dunia pada umumnya: iaitu satu konsepsi yang mengiktiraf agama sebagai satu kuasa hebat yang memajukan tamadun yang sentiasa berkembang. Ia difahami bahawa tamadun seperti ini tidak akan muncul secara spontan, secara sendirinya-ia adalah misi para pengikut Bahá’u'lláh untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi kemunculannya. Misi sebegitu menuntut pengamalan proses pembelajaran sistematik yang sama kepada kerja tindakan sosial dan penglibatan dalam wacana awam.

Dilihat daripada perspektif dua dekad setengah yang lalu, keupayaan untuk melaksanakan tindakan sosial telah meningkat dengan ketara, membawa kepada satu kemekaran aktiviti yang luar biasa. Berbanding dengan tahun 1996, apabila 250 projek-projek sosial dan ekonomi telah dikekalkan dari tahun ke tahun, kini terdapat 1,500, dan bilangan organisasi yang diinspirasikan Bahá’í telah bertambah empat kali ganda melebihi 160 organisasi. Lebih daripada 70,000 inisiatif tindakan sosial akar umbi berjangka pendek telah dijalankan setiap tahun, iaitu satu peningkatan lima puluh kali ganda. Kami menantikan satu peningkatan yang berterusan dalam semua daya usaha ini yang terhasil daripada sokongan berdedikasi dan rangsangan yang kini diberikan oleh Organisasi Pembangunan Antarabangsa Bahá’í. Sementara itu, penyertaan Bahá’í dalam wacana semasa masyarakat telah juga bertambah dengan amat banyak. Selain banyak peluang yang mana rakan-rakan mendapati bahawa mereka dapat menawarkan perspektif Bahá’í dalam perbualan yang wujud dalam konteks kerja atau peribadi, penyertaan yang lebih rasmi dalam wacana-wacana telah maju dengan banyak. Kami sedang memikirkan bukan sahaja tentang usaha banyak yang diperluaskan dan sumbangan yang semakin sofistikated oleh Komuniti Bahá’í Antarabangsa-yang pada masa ini telah menambahkan Pejabat-pejabat di Afrika, Asia dan Eropah-tetapi juga kerja satu rangkaian Pejabat Hal Ehwal Luar nasional yang ditambahluaskan, dan diperkukuhkan, yang baginya bidang daya usaha ini menjadi tumpuan utamanya; sebagai tambahan, terdapat juga sumbangan penganut individu yang penuh berpengertian dan menonjol terhadap bidang-bidang yang khusus. Semua ini menjelaskan penghormatan, penghargaan dan kekaguman yang diluahkan berulang kali oleh para pemikir dan tokoh-tokoh terkenal dari setiap lapisan masyarakat terhadap Akidah, para pengikutnya dan aktiviti-aktiviti mereka.

Dalam mengimbas kembali keseluruhan tempoh dua puluh lima tahun, kami dikagumkan dengan banyak jenis kemajuan dunia Bahá’í yang telah berlaku secara serentak. Kehidupan intelektualnya telah berkembang maju, seperti yang ditonjolkan bukan sahaja dalam kemajuannya dalam semua bidang daya usaha yang telah dibincangkan, tetapi juga oleh bilangan jilid kesusasteraan berkualiti tinggi yang diterbitkan oleh pengarang Bahá’í, dalam pembangunan ruang-ruang bagi penerokaan disiplin-disiplin tertentu berdasarkan ajaran-ajaran, dan dengan impak seminar-seminar mahasiswa dan siswazah yang ditawarkan oleh Institute for Studies in Global Prosperity [ISGP], yang, dalam kolaborasi dengan institusi-institusi Kepercayaan, kini berbakti kepada belia Bahá’í di sekitar lebih daripada 100 buah negara. Usaha-usaha untuk membina Rumah-rumah Ibadat telah dipercepatkan dengan ketara. Rumah Ibadat Induk yang terakhir telah didirikan di Santiago, Chile, dan projek-projek untuk membina dua Mashriqu’l-Adhkár nasional dan lima tempatan telah dimulakan; Rumah-rumah Ibadat di Battambang, Cambodia, dan Norte del Cauca, Colombia, telah pun membuka pintu-pintunya. Rumah-rumah Ibadat Bahá’í, sama ada baru saja didedikasikan atau telah lama didirikan, semakin bertapak di hati kehidupan komuniti. Sokongan material yang ditawarkan oleh setiap lapisan penganut bagi begitu banyak daya usaha yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Tuhan tidak terhingga banyaknya. Ringkasnya dilihat sebagai sukatan tenaga rohani kolektif, kemurahan hati dan pengorbanan yang, pada suatu masa pergolakan ekonomi yang besar, aliran dana yang kritikal telah dikekalkan-malah, diperkuatkan-adalah paling menonjol. Dalam dunia pentadbiran Bahá’í, keupayaan Majlis-majlis Rohani Nasional untuk menguruskan hal ehwal komuniti mereka dalam kompleksiti mereka yang semakin meningkat telah dipertingkatkan dengan banyak. Mereka telah mendapat manfaat terutamanya daripada kolaborasi yang lebih tinggi dengan para Kaunselor, yang banyak membantu dalam mensistematikkan pengumpulan pengertian daripada akar umbi di sekitar dunia dan memastikan ia disebarluaskan. Ini juga adalah tempoh yang mana Majlis Bahá’í Serantau muncul sebagai satu institusi Kepercayaan yang mantap, dan di 230 rantau pada masa ini, Majlis-majlis Serantau dan institut-institut latihan yang mereka sedang uruskan telah membuktikan diri mereka amat penting bagi kemajuan proses pertumbuhan. Untuk meluaskan ke masa hadapan fungsi-fungsi Ketua Pemegang Amanah Ḥuqúqu’lláh, iaitu Tangan Kepercayaan Tuhan ‘Alí-Muḥammad Varqá, maka Lembaga Pemegang Amanah Ḥuqúqu’lláh Antarabangsa telah ditubuhkan pada tahun 2005; pada hari ini ia menyelaraskan usaha-usaha tidak kurang daripada 33 buah Lembaga Pemegang Amanah Nasional dan Rantau di serata dunia, yang membimbing kerja sekitar lebih daripada 1,000 orang Wakil. Perkembangan-perkembangan yang berlaku di Pusat Bahá’í Sedunia pada tempoh yang sama ini adalah banyak: menyaksikan penyempurnaan Teres-teres Makam Báb dan dua bangunan di Arka serta permulaan pembinaan Makam 'Abdu'l-Bahá, selain daripada sebilangan projek untuk memperkukuh dan memelihara Tempat-tempat Suci Akidah yang berharga. Makam Bahá’u'lláh dan Makam Báb telah diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia, iaitu tempat-tempat yang tak terkira kepentingannya kepada umat manusia. Orang awam berduyun-duyun ke tempat-tempat suci ini dalam ratusan ribu, hampir satu juta setengah pada tahun-tahun tertentu, dan Pusat Sedunia sering mengalu-alukan ratusan penziarah serentak, kadang kala lebih daripada 5,000 orang dalam setahun, termasuk bilangan pelawat Bahá’í yang hampir sama bilangannya; kami gembira dengan bilangan yang meningkat serta puluhan bangsa dan negara yang berbeza dalam kalangan mereka yang memperoleh rahmat untuk berziarah. Penterjemahan, penerbitan dan penyebarluasan Teks-teks Suci telah juga amat dipercepatkan, seiring dengan pembangunan Bahá’í Reference Library, iaitu salah satu ahli keluarga laman-laman web yang paling terkenal terkait dengan Bahá’í.org, yang sendirinya kini tersedia dalam sepuluh bahasa. Sebilangan pejabat dan agensi telah ditubuhkan, ditempatkan di Pusat Sedunia dan di tempat lain, yang dipertanggungjawabkan untuk menyokong proses pembelajaran yang sedang mekar dalam pelbagai bidang daya usaha di sekitar dunia Bahá’í. Semua ini, saudari dan saudara kami dalam kepercayaan, adalah hanya sebahagian daripada kisah yang kami dapat ceritakan tentang hasil daripada pengabdian anda kepada Dia Yang telah Dipersalahkan oleh Dunia. Kami hanya dapat menggemakan kata-kata memilukan yang pernah disuarakan oleh Master yang dikasihi apabila, diselubungi emosi, Beliau melaungkan: “Oh Bahá’u'lláh! Apakah yang Engkau telah lakukan?”

Daripada panorama suku abad yang penting ini, kami kini menghalakan tumpuan kami pada Rancangan Lima Tahun baru-baru ini, satu Rancangan yang tidak seperti yang terdahulu dalam pelbagai cara. Dalam Rancangan ini kami menyarankan umat Bahá’í di dunia untuk mengambil apa yang mereka telah pelajari dalam dua puluh tahun yang lalu dan melaksanakannya sepenuhnya. Kami gembira bahawa harapan-harapan kami dalam hal ini telah tercapai lebih daripada jangkaan, namun sementara kami mengharapkan hal-hal hebat daripada pengikut Keindahan Yang Diberkati, perwatakan apa yang telah dicapai melalui daya usaha raksasa mereka amatlah menakjubkan. Ia adalah puncak suatu pencapaian sepanjang dua puluh lima tahun.

Rancangan ini terutamanya tidak dapat dilupakan kerana dibahagikan tiga oleh dua ulang tahun kedua ratus yang suci, setiap daripadanya telah merangsangkan komuniti-komuniti tempatan di seluruh dunia. Angkatan mereka yang setia telah menonjolkan, pada satu skala yang tidak pernah disaksikan dan dengan senang, satu keupayaan untuk melibatkan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam merayakan kehidupan seorang Manifestasi Tuhan. Ia adalah satu petanda yang berkuasa bagi sesuatu yang lebih besar: iaitu kebolehan untuk menyalurkan pembebasan tenaga rohani yang amat banyak bagi kemajuan Kepercayaan. Begitu mengagumkan respons sehingga di kebanyakan tempat Akidah telah dikeluarkan daripada kekaburan pada tahap nasional. Di tempat yang tidak pernah diduga, malah tidak disangka-sangka, reseptiviti yang tinggi kepada Akidah menjadi ketara. Ribuan demi ribuan demi ribuan telah digerakkan melalui penemuan dengan semangat ibadah yang pada hari ini istimewa dalam komuniti Bahá’í di merata tempat. Visi bagi perkara-perkara yang dibolehkan melalui peringatan satu Hari Suci Bahá’í telah diperluaskan dengan banyaknya.

Pencapaian-pencapaian Rancangan ini, jika dalam kiraan angka, dengan cepat melebihi apa yang telah dicapai dalam Rancangan-rancangan sebelumnya sejak tahun 1996. Pada permulaan Rancangan ini, keupayaan yang wujud bagi mengendalikan hampir lebih daripada 100,000 aktiviti teras pada suatu masa tertentu, iaitu satu keupayaan yang terhasil daripada daya usaha bersama selama dua puluh tahun. Kini 300,000 aktiviti teras sedang dikekalkan secara serentak. Penyertaan dalam aktiviti-aktiviti itu telah meningkat melebihi dua juta, yang juga hampir kepada peningkatan tiga kali ganda. Terdapat 329 institut latihan nasional dan rantau yang beroperasi, dan keupayaan mereka terbukti oleh fakta bahawa tiga suku daripada sejuta orang telah dibolehkan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya satu buku dalam urutan; secara keseluruhannya, bilangan kursus yang disiapkan oleh individu kini adalah dua juta-satu peningkatan melebihi satu pertiga dalam lima tahun.

Intensiti meningkat yang mana program-program pertumbuhan di sekitar dunia sedang diusahakan menceritakan satu kisahnya tersendiri yang menakjubkan. Dalam tempoh lima tahun ini, kami telah meminta agar pertumbuhan dipercepat dalam setiap satu daripada 5,000 kluster di mana ia telah bermula. Imperatif ini telah menjadi dorongan bagi daya usaha bersungguh-sungguh di seluruh dunia. Hasilnya, bilangan program pertumbuhan intensif meningkat lebih daripada dua kali ganda dan kini kira-kira dalam 4,000. Kesukaran yang terlibat dalam membuka perkampungan dan kejiranan baharu kepada Akidah di pertengahan satu krisis kesihatan global, atau memperluas aktiviti-aktiviti yang berada pada tahap awal semasa bermulanya pandemik, telah menghalang satu jumlah pencapaian yang lebih tinggi dalam tahun terakhir Rancangan. Namun begitu, terdapat lebih banyak lagi untuk disampaikan daripada ini. Pada permulaan Rancangan, kami telah meluahkan harapan agar bilangan kluster di mana rakan-rakan telah melewati batu penanda ketiga di sepanjang kontinuum pertumbuhan, sebagai hasil daripada pembelajaran bagaimana mengalu-alukan bilangan besar ke dalam naungan aktiviti-aktivitinya, akan berkembang ratusan lagi. Jumlah tersebut pada masa itu di sekitar 200, daripada kira-kira 40 negara. Lima tahun kemudian, jumlah ini telah meningkat dengan menakjubkan kepada 1,000 dalam hampir 100 negara-sesuku daripada semua program pertumbuhan intensif di dunia dan satu pencapaian yang jauh melebihi jangkaan kami. Dan namun begitu bilangan ini tidak menjelmakan puncak tinggi yang mana komuniti telah capai. Terdapat lebih daripada 30 kluster yang mana bilangan aktiviti teras yang dikekalkan olehnya melebihi 1,000; di beberapa kawasan, jumlahnya beberapa ribu, yang melibatkan penyertaan lebih daripada 20,000 orang dalam satu kluster. Sejumlah Majlis Rohani Tempatan yang semakin meningkat kini menyelaraskan kemekaran program-program pendidikan yang menjaga hampir semua kanak-kanak dan belia muda di sesebuah kampung; realiti yang sama sedang mulai muncul di beberapa kejiranan bandar. Penglibatan dalam Revelasi Bahá’u'lláh telah, dalam contoh yang ketara, menjangkaui individu, keluarga dan saudara-mara-apa yang disaksikan sebagai pergerakan populasi ke arah satu pusat yang sama. Pada masa tertentu, permusuhan lama antara kelompok-kelompok yang bertentangan telah diabaikan, dan struktur-struktur sosial dan dinamik tertentu telah ditransformasikan berdasarkan ajaran-ajaran ilahi.

Kami tidak dapat menahan daripada berasa amat gembira pada kemajuan yang begitu mengagumkan. Kuasa pembangunan-masyarakat Akidah Bahá’u'lláh sedang dijelmakan dengan lebih jelas, dan ini adalah asas kukuh yang mana Rancangan Sembilan Tahun hadapan akan dibentangkan. Kluster-kluster yang mempunyai kekuatan yang menonjol, seperti yang telah diharapkan, telah terbukti sebagai takungan pengetahuan dan sumber kepada jiran-jiran mereka. Dan rantau-rantau di mana lebih daripada kluster seperti itu wujud telah dengan senangnya memperkembangkan sarana untuk mempercepat pertumbuhan di kluster demi kluster. Namun, kami berasa terdorong untuk menekankan semula, bahawa kemajuan ini hampir menyeluruh; perbezaan dalam kemajuan di satu tempat ke tempat yang lain hanyalah darjahnya. Pemahaman kolektif komuniti tentang proses entry by troops dan keyakinannya telah mampu merangsangkan proses ini di bawah sebarang set keadaan telah naik ke tahap yang tidak pernah dibayangkan dalam dekad-dekad yang lalu. Persoalan mendalam yang telah membimbangkan sekian lama, dan yang telah dibawa kepada tumpuan penuh pada tahun 1996, telah dijawab dengan penuh yakin oleh dunia Bahá’í. Terdapat satu generasi penganut yang keseluruhan kehidupannya tertera tanda kemajuan komuniti. Tetapi skala sebenar apa yang telah berlaku di kebanyakan kluster di mana wawasan pembelajaran sedang diperluaskan telah menukarkan suatu kemajuan yang besar dalam proses entry by troops kepada suatu kemajuan yang luar biasa dalam sejarah.

Ramai akan tahu tentang bagaimana Wali membimbing Zaman-zaman Akidah dalam epok-epok yang berturutan; epok kelima dalam Zaman Pembentukan bermula pada tahun 2001. Tidak ramai ketahui bahawa Wali juga membuat rujukan khusus kepada wujudnya epok-epok dalam Rancangan Ilahi, dan peringkat-peringkat dalam epok-epok tersebut. Dibiarkan selama dua dekad sementara organ-organ tempatan dan nasional Aturan Pentadbiran dinaikkan dan diperkuat, Rancangan Ilahi yang disediakan oleh 'Abdu'l-Bahá telah dimulakan secara rasmi pada tahun 1937 dengan permulaan peringkat pertama epok pertamanya: Rancangan Tujuh Tahun yang ditugaskan oleh Wali kepada komuniti Bahá’í Amerika Utara. Epok pertama ini ditutup selepas penamatan Perjuangan Sepuluh Tahun pada tahun 1963, yang telah menghasilkan panji Akidah dikibarkan di seluruh dunia. Peringkat pembukaan epok kedua adalah Rancangan Sembilan Tahun yang pertama, dan tidak kurang daripada sepuluh Rancangan telah mengikuti selepas permulaannya, Rancangan-rancangan yang telah bertempoh dari dua belas bulan kepada tujuh tahun. Pada permulaan epok kedua, dunia Bahá’í sudah menyaksikan permulaan-permulaan baharu entry by troops dalam Akidah yang telah diramal oleh Pengarang Rancangan Ilahi; dalam dekad-dekad yang seterusnya, generasi-generasi penganut yang setia dalam komuniti Nama Teragung telah bekerja dalam Kebun Anggur Ilahi untuk memupuk keadaan-keadaan yang diperlukan bagi pertumbuhan yang mampan dan berskala besar. Dan pada musim Riḍván yang teragung ini, betapa kayanya hasil buah-buahan kerja keras mereka! Fenomena bilangan yang besar sedang mengembangkan aktiviti-aktiviti komuniti, menyambut percikan keimanan dan dengan segera bangkit untuk berkhidmat di barisan hadapan Rancangan telah beralih daripada satu ramalan yang dikekalkan oleh kepercayaan kepada satu realiti yang berulang-ulang. Kemajuan yang begitu ketara dan menonjol menuntut catatan dalam sejarah Kepercayaan. Dengan hati yang sungguh gembira, kami mengumumkan bahawa epok ketiga dalam Rancangan Ilahi Master telah bermula. Peringkat demi peringkat, epok demi epok akan mekar Rancangan-Nya, sehingga cahaya Kerajaan menyinari setiap kalbu.

Rakan-rakan yang dikasihi, imbasan daya usaha lima tahun yang telah menamatkan epok kedua Rancangan Ilahi ini tidak akan lengkap tanpa rujukan khas kepada pergolakan yang telah melanda tahun terakhirnya dan masih lagi berlanjutan. Sekatan pada interaksi peribadi yang telah meningkat dan menurun di kebanyakan negara dalam tempoh ini mungkin telah memberikan tamparan yang hebat pada usaha-usaha kolektif komuniti, yang mana pemulihan daripadanya mungkin mengambil beberapa tahun, tetapi terdapat dua sebab mengapa ini bukanlah hal ehwalnya. Satu adalah kesedaran yang meluas tentang tanggungjawab umat Bahá’í untuk berkhidmat kepada umat manusia, lebih-lebih lagi dalam masa bahaya dan kesusahan. Yang lain adalah peningkatan keupayaan yang luar biasa dalam dunia Bahá’í untuk meluahkan kesedaran tersebut. Begitu biasa dengan penggunaan corak tindakan sistematik selama bertahun-tahun, rakan-rakan menggunakan kreativiti dan rasa tujuan mereka untuk menangani krisis yang tak diduga, sementara memastikan bahawa pendekatan-pendekatan baharu yang mereka perkembangkan bersepadu dengan kerangka yang mereka telah usahakan dalam Rancangan berturut-turut agar disempurnakan. Ini bukanlah untuk mengabaikan kesukaran serius yang dihadapi oleh umat Bahá’í, serupa dengan rakan sependuduk di setiap tempat; namun di sepanjang kesukaran yang perit, para penganut kekal tertumpu. Sumber-sumber telah disalurkan kepada komuniti yang memerlukan, pemilihan diteruskan apabila mungkin, dan dalam segala keadaan institusi Kepercayaan telah meneruskan pelaksanaan tanggungjawab mereka. Terdapat juga langkah-langkah berani ke hadapan. Majlis Rohani Nasional São Tomé dan Príncipe akan ditubuhkan semula pada Riḍván ini, dan dua tiang baharu Balai Keadilan Sedunia akan dinaikkan: iaitu Majlis Rohani Nasional Croatia, dengan tapaknya di Zagreb, dan Majlis Rohani Nasional Timor-Leste, dengan tapaknya di Dili.

Dengan itu Rancangan Satu Tahun bermula. Tujuannya dan keperluan-keperluannya telah pun ditetapkan dalam utusan kami yang dihantar pada Hari Waadat; Rancangan ini, walaupun singkat, akan cukup untuk menyediakan dunia Bahá’í bagi Rancangan Sembilan Tahun yang berikutnya. Satu tempoh kekuatan yang istimewa, yang dibuka pada seratus tahun selepas pembacaan Loh-loh Rancangan Ilahi, akan tak lama lagi ditutup dengan ulang tahun keseratus Kemangkatan 'Abdu'l-Bahá, yang menandakan penyimpulan abad pertama Zaman Pembentukan dan permulaan yang kedua. Angkatan yang setia memasuki Rancangan baharu ini pada masa apabila umat manusia, dihukum oleh pendedahan kepada serangannya, nampaknya lebih sedar akan keperluan untuk berkolaborasi dalam menangani cabaran-cabaran global. Namun, tabiat-tabiat berlarutan dalam persaingan, kepentingan diri, prasangka dan minda tertutup kekal menghalang pergerakan ke arah perpaduan, meskipun bilangan semakin besar dalam masyarakat yang menunjukkan dalam kata dan perlakuan betapa mereka, juga, menginginkan penerimaan semakin besar bagi kesatuan yang terwujud dalam umat manusia. Kami berdoa agar keluarga bangsa-bangsa akan berjaya mengetepikan perbezaan-perbezaan mereka demi kepentingan kebaikan bersama. Tanpa menghiraukan ketidakpastian yang mengaburi bulan-bulan ke hadapan, kami merayu kepada Bahá’u'lláh untuk menjadikan pengesahan yang telah mengekalkan para pengikut-Nya sebegitu lama bertambah banyak lagi, agar anda dapat melaksanakan misi anda, ketenangan anda tidak terganggu oleh pergolakan satu dunia yang mana keperluan bagi utusan penyembuh-Nya menjadi lebih mendesak.

Rancangan Ilahi memasuki satu epok baharu dan satu peringkat baharu. Halaman telah dibuka.

 

Windows / Mac